KUALA LUMPUR: Pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri ini, diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Katanya, ia terutama bagi mereka yang terpaksa menempuh perjalanan jauh, di samping menanggung pelbagai keperluan persiapan raya.
Beliau berkata, pemberian diskaun itu selaras agenda Kerajaan MADANI bagi menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat merentasi pelbagai agama, kaum serta kepercayaan.
“Pelaksanaan diskaun tol ini akan bermula jam 12.01 tengah malam 18 Mac ini dan berakhir jam 11.59 malam 19 Mac 2026 membabitkan kenderaan persendirian Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua lebuh raya kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pemilihan tarikh pelaksanaan diskaun itu bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan.
“Selain itu, mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan Hentian Sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat di lebuh raya,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, semua kerja penyenggaraan dihentikan sepanjang tempoh 18 hingga 30 Mac ini bagi memastikan kelancaran operasi lebuh raya termasuk trafik lebih lancar, mengelakkan lorong ditutup dan meminimumkan gangguan kepada pengguna yang pulang ke kampung atau kembali semula ke ibu kota selepas Aidilfitri.
“Pengguna lebuh raya diharap dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Selain itu, pengguna disaran memuat turun aplikasi TuJu Navigasi Lebuh Raya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan MyPLUS-TTA untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan serta keselesaan pemanduan.
“Patuhi arahan papan tanda, had laju dan beri perhatian kepada maklumat dipaparkan di Variable Message System (VMS).
“Bagi mereka yang menggunakan lorong smartlane, beri isyarat awal sebelum memasuki lorong, memandu dengan kelajuan ditetapkan, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.
Beliau sekali gus menasihati pengguna jalan raya supaya menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi LLM di Facebook, TikTok atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM melalui talian 1-800-88-7752 atau laman web rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipetik berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai sebahagian daripada langkah menyeluruh kerajaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup, khususnya menjelang musim perayaan.-BH Online
