KUALA LUMPUR: Golongan belia yang mempunyai kemahiran dalam bidang pembinaan diseru agar mengambil peluang memohon lesen kontraktor G1 yang kini masih dibuka.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata keutamaan akan diberikan kepada individu yang memiliki kemahiran khusus, terutamanya mereka yang telah menjalani latihan di Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Beliau berkata langkah ini bertujuan melahirkan lebih ramai kontraktor berkemahiran dan berkualiti dalam industri pembinaan negara.
“Dahulu, lesen ini dikenali sebagai kelas F. Kini, lesen G1 masih dibuka dan kita utamakan kepada mereka yang mempunyai kemahiran pembinaan, contohnya lepasan ABM,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata usaha ini penting bagi memastikan kontraktor yang dilahirkan bukan sahaja berkelayakan, tetapi juga mampu menjalankan projek dengan baik, selain menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus di ABM yang menawarkan peluang pekerjaan hingga 100 peratus selepas tamat latihan.
“Ini peluang besar untuk mereka menjadi kontraktor,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata dalam usaha memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, beberapa kursus teknikal baharu dijangka diperkenalkan di ABM pada masa hadapan.
Ahmad berkata antara kursus yang dirancang termasuklah construction diver, railway, cable jointer, ready mix concrete dan joint maker.
“Langkah strategik ini bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang, khususnya dalam sektor pembinaan dan infrastruktur. Selain menawarkan kemahiran khusus, kursus-kursus ini juga menjanjikan peluang kerjaya dengan kadar gaji yang lumayan,” katanya.
Sementara itu, menyentuh tentang prestasi projek di seluruh negara, Ahmad berkata hanya sebahagian kecil projek kerajaan pada masa ini diklasifikasikan sebagai “projek sakit”.
Beliau berkata daripada 855 projek di seluruh negara, sebanyak 35 projek atau 4.1 peratus tergolong dalam kategori berkenaan.
“Kebanyakan projek bermasalah ini berpunca daripada isu berkaitan kontraktor. Kira-kira 75 peratus daripada masalah disebabkan oleh kontraktor, khususnya dari segi pengurusan kewangan dan pengurusan projek, termasuk tenaga kerja, bahan dan penjadualan,” katanya.– BERNAMA
