Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pembiayaan dalam bidang pertumbuhan baharu, di samping memudahkan pelabur mengakses peluang pelaburan berkualiti tinggi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan akan menyalurkan tambahan RM20 juta kepada MyCIF tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada inisiatif itu sebanyak RM50 juta termasuk RM30 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Beliau berkata tambahan peruntukan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap model pembiayaan bersama MyCIF serta komitmen untuk memperluaskan inisiatif yang terbukti berkesan dalam menyokong PMKS.

“Pelaburan tambahan ini membolehkan kita melakukan lebih banyak usaha. Kita sedang memperluaskan peranan MyCIF bagi menangani cabaran yang sudah mula membentuk masa depan negara,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Hari Penglibatan Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF).

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata kerajaan turut melancarkan Skim Ekonomi Perak (Silver Economy) bagi menyalurkan pelaburan kepada PMKS yang membangunkan perkhidmatan serta penyelesaian inovatif untuk populasi warga emas.

Menurutnya, inisiatif itu merangkumi pelbagai bidang termasuk penjagaan warga emas secara jarak jauh, kemudahan kehidupan berbantu serta perancangan persaraan.

“Peralihan demografi Malaysia sedang berlaku dengan pesat. Saya mahu usahawan tempatan memimpin usaha membangunkan penyelesaian penjagaan, kesihatan dan gaya hidup yang diperlukan oleh warga emas kita pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga akan memperluaskan Skim Keterjaminan Makanan di bawah MyCIF bagi menyokong syarikat pemula niaga dalam bidang agri-teknologi.

Amir Hamzah berkata langkah itu meliputi pelaburan dalam teknologi seperti pertanian ketepatan, akuakultur mampan serta teknologi rantaian bekalan bagi memperkukuh keselamatan makanan negara.

“Keterjaminan makanan adalah sebahagian daripada keselamatan negara. Usahawan yang mengusahakan inovasi dalam bidang ini wajar mendapat sokongan penuh,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata MyCIF turut memperkenalkan mekanisme perkongsian keuntungan bagi menarik lebih banyak urus niaga yang diterajui modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) ke platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF).

Katanya, langkah itu merupakan perubahan struktur yang signifikan kerana urus niaga yang disaring secara profesional kini boleh diakses oleh kumpulan pelabur yang lebih luas.

Beliau berkata Gobi Partners dan OSK Ventures telah memberi komitmen untuk bekerjasama dengan platform ECF tahun ini.

“Saya juga menggalakkan lebih ramai pengurus dana untuk meneroka kerjasama serupa supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat berkongsi manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam masa sama, Amir Hamzah berkata MyCIF turut bekerjasama dengan GEAR-uP bagi membantu syarikat yang berdepan cabaran mendapatkan pembiayaan lanjutan selepas peringkat awal.

Beliau berkata kerjasama itu membolehkan syarikat yang menerima pelaburan MyCIF mendapat laluan lebih jelas untuk memperoleh pembiayaan susulan daripada firma modal teroka dan ekuiti persendirian di bawah program syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Katanya, antara inisiatif yang terlibat termasuk Jelawang Capital dan Dana Perintis. Melalui pelaburan susulan itu, Malaysia dapat memastikan dana negara dimanfaatkan secara berkesan bagi membantu syarikat berkembang pada peringkat paling kritikal.

Menurutnya, pendekatan pembiayaan bersama itu juga kini mula diguna pakai dalam inisiatif lain seperti Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP CoSIF).

“Apabila sesuatu model terbukti berkesan, ia wajar diperluaskan dan dijadikan contoh kepada sektor lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi, berkata MyCIF telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan PMKS dengan menggalakkan pengumpulan dana melalui platform ECF dan pembiayaan P2P, yang lazimnya sukar diperoleh melalui saluran pembiayaan konvensional.

“Model MyCIF memacu sinergi antara daya tahan modal awam dengan kebijaksanaan kolektif orang ramai. Saya yakin model ini berpotensi berkembang lebih jauh bagi menangani keperluan pembiayaan serta memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Hari Penglibatan MyCIF turut menampilkan siri dialog serta galeri digital yang mengetengahkan perjalanan enam tahun impak inisiatif berkenaan. Acara separuh hari itu menarik lebih 150 wakil daripada agensi kerajaan, firma VC, PE, platform ECF dan pembiayaan P2P serta komuniti PMKS.-BH Online