KOTA KINABALU: Pengguna perlu diberi pencerahan untuk membuat pilihan dan penilaian sebelum membeli barangan tanpa dipengaruhi iklan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan, sistem terbuka menyebabkan pengguna sering terdedah kepada hebahan dan iklan bagi menarik kecenderungan membeli.
Katanya, perkara itu disebut teori ekonomi Veblen atau Thorstein Veblen yang berkaitan isu kepenggunaan iaitu ‘Conspicuous Consumption’.
“Pengguna nak beli, yang perlu dia beli, yang tidak perlu dia beli, yang murah dia beli, yang mahal dia beli kerana dia terpukau dengan iklan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta KPDN melatih pengguna berdasarkan ilmu, maklumat dan fakta.
“Atas sebab itu, kerajaan memandang serius dan melihat keperluan mengadakan Hari Pengguna bagi mengingatkan mengenai teori ‘Conspicuous Consumption’.
“Maknanya, menelan, membolot, memakai hal-hal yang tidak perlu, jadi tidak pernah cukup hidupnya kerana terpaksa memilih membeli dan terpengaruh dengan sentimen bukan atas keperluan menjaga keluarga dan juga keperluannya,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan pengguna membeli mengikut keperluan terutama ketika umat Islam mula sibuk membuat persiapan Aidilfitri di penghujung Ramadan.
“Saya beri beberapa peringatan, kita beli keperluan kita dengan semangat Hari Pengguna Kebangsaan ini, suatu peringatan kepada kita membeli barang keperluan, memilih kos yang lebih rendah.
“Kementerian Pengguna (KPDN) sangat aktif dalam memberikan ruang, rangkaian supaya pembeli buat pilihan, memilih kos yang rendah, mutu yang baik.
“Banyak acara yang diperkenalkan sepertimana kita sedia maklum, termasuk Jualan Murah, Jualan Rahmah dan juga memperkenalkan sistem yang boleh melatih, mendidik, memberi pencerahan agar kita boleh membeli dengan bijak. Jadi itulah semangat Hari Pengguna Kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, Anwar Ramadan perlu dijadikan masa yang baik untuk mengingati orang susah sebagai antara disiplin puasa yang perlu diamalkan.
“Hari-hari ada makanan, bagaimana dengan orang yang tidak ada makanan, bagaimana orang yang miskin, jadi harus ada kesedaran untuk kenang nasib mereka, itu tradisi makanan.
“Jadi, bila kita dengar Majlis Berbuka Puasa yang melimpah ruah makanannya, mahal, saya fikir aneh juga. Tujuan puasa hidup sederhana, bantu yang miskin, bantu yang kurang makan.
“Kita puasa, ‘makan’ sebanyaknya, tidak memikirkan nasib orang lain. Jadi hasrat dan semangat puasa itu hilang. Sebab itu kalau orang berpuasa, dia lebih insaf mengenai nasib rakyat miskin.
“Dia lebih mendukung usaha-usaha membantu kita, kerana dia paksa kita puasa, bukan sahaja teori. Puasa ini untuk kita rasa dan tahu orang susah dan orang miskin, sama ada Muslim, Kristian, Hindu, Buddha, rakyat yang susah, yang kurang makan kita merasakan. Itu tujuannya,” katanya.
Berikutan itu, katanya, Hari Pengguna juga sesuai untuk mengingatkan pengguna mengenai semangat Ramadan dan mengingatkan hidup yang lebih sederhana serta mengingati nasib rakyat miskin.-BH Online
