IPOH: Konflik melanda Asia Barat seharusnya dijadikan teladan oleh masyarakat Malaysia supaya tidak melakukan perkara yang boleh mencetus perang sesama sendiri, selain menjauhi fitnah bagi menjamin keamanan negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata nikmat keamanan sesebuah negeri atau negara tidak ternilai kerana kekayaan serta wang yang banyak juga tiada gunanya apabila negara dilanda perang.
“Orang Iran barangkali tak mahu perang, tetapi orang Amerika Syarikat (AS) memerangi dia dan begitu juga orang Palestin tak nak perang, tetapi orang Israel memeranginya. Di Malaysia tiada siapa nak berperang dengan kita, jadi kita jangan perang sesama sendiri.
“Orang muda jangan sebar dan sambung fitnah…. tolong ajak dan jadi kumpulan yang pengasih, pendamai dan pemaaf. Lagi ramai orang ciptakan kedamaian, maka lagi besar pahala kita dapat,” katanya ketika berucap pada program Iftar Anak Muda 2026 di Dataran Bandaraya Ipoh, di sini hari ini.
Saarani berkata, golongan muda khususnya harus sentiasa ingat agar memastikan segala kandungan di media sosial yang hendak dikongsikan perlu tepat supaya fitnah tidak merebak.
“Dalam poket kita ada telefon bimbit, yang mana di dalamnya ada peluru dan racun. Jadi kalau kita buka WhatsApp, pastikan kandungan itu adalah benar dan bukan fitnah serta jangan mudah sebarkan fitnah itu tanpa memeriksanya terlebih dahulu.
“Dalam telefon itu ada racun, peluru dan pelbagai benda yang boleh memusnahkan hidup kita. Jadi tolonglah orang muda jangan sebar fitnah, jangan sambung fitnah, jangan buat fitnah,” katanya.-BH Online
