PUTRAJAYA: Pesakit yang mempunyai temu janji di klinik pakar atau pusat rawatan harian hospital kerajaan pada hari cuti tambahan yang diumumkan kerajaan akan diberikan tarikh baharu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pesakit berkenaan akan dihubungi pihak hospital bagi memaklumkan perubahan tarikh temu janji itu.
“Ia penting supaya rawatan dan pemeriksaan mereka dapat diteruskan tanpa menjejaskan perkhidmatan kesihatan.
“Jadi mereka akan dihubungi dan tarikh temu janji baharu akan diberikan,’ katanya kepada pemberita selepas ditemui dalam Program Kembara Beraya bersama Cik Era di IOI City Mall, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan tambahan cuti sehari sempena Aidilfitri sama ada pada Jumaat depan atau Isnin berikutnya.
Beliau berkata, cuti pada Isnin, 23 Mac diberikan jika 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat depan, manakala cuti sehari lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac jika 1 Syawal disambut pada Sabtu.
Mengulas mengenai pengoperasian hospital dan klinik di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Dzulkefly berkata ia tetap berjalan seperti biasa sepanjang tempoh cuti berkenaan.
Menurutnya, pusat kesihatan itu akan terus beroperasi 24 jam sehari seperti hari cuti umum lain bagi memastikan rawatan kepada pesakit tidak terjejas.
“Petugas kesihatan yang sudah dijadualkan bertugas secara ‘on-call’ juga akan terus berada di hospital bagi memberikan perkhidmatan kepada pesakit.
“Selain itu, pemantauan terhadap situasi kesihatan awam akan terus dilakukan secara berterusan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di peringkat negeri dan kebangsaan bagi memastikan sebarang insiden yang berpotensi memberi impak kepada kesihatan awam dapat ditangani segera,” katanya.-BH Online
