Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Malaysia menyifatkan langkah Israel menutup pintu masuk kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis sebagai suatu tindakan keji kerana ia menyekat orang Islam, khususnya rakyat Palestin untuk melaksanakan ibadah pada bulan Ramadan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia suatu perkara yang amat tidak baik dan tidak bermoral serta wajar dikecam masyarakat antarabangsa.

“Kita mendapat khabar rejim Zionis, selain kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan membunuh wanita dan kanak-kanak tidak berdosa pada bulan Ramadan ini mengambil satu lagi tindakan keji dengan menutup pintu kompleks Masjid Al-Aqsa daripada orang Palestin untuk menjalankan ibadah.

“Ini satu perkara tidak bermoral menahan orang daripada menggunakan tempat ibadah yang sudah pun beribu tahun digunakan oleh orang Islam.

“Malaysia mengecam tindakan ini dan saya rasa banyak negara lain turut mengecam tindakan tidak bermoral dan keji itu,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepemimpinan Jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau, di sini, malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Luar lapan negara yang majoriti penduduk beragama Islam, menggesa Israel segera menghentikan penutupan pintu masuk kompleks Masjid Al-Aqsa, sekali gus mengecam tindakan berterusan menutup kawasan itu kepada umat Islam, terutama pada bulan Ramadan.

Menteri Luar Indonesia, Mesir, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam satu kenyataan bersama turut menggesa Israel menarik balik sekatan akses ke Kota Lama Baitulmaqdis serta tidak menghalang umat Islam memasuki masjid itu.

Kementerian Luar turut mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan berterusan rejim Zionis Israel yang bertindak menutup pintu Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif kepada jemaah umat Islam dan menyifatkan sekatan itu bersifat diskriminasi serta pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.-BH Online