KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yakin skuad badminton negara masih berupaya menyerlah pada saingan Piala Thomas meskipun prestasi semasa barisan perseorangan lelaki dilihat kurang konsisten.
Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) sentiasa berhubung rapat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memantau perkembangan prestasi pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada kejohanan di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
“Kita masih meletakkan satu keyakinan yang tinggi. Jangan kita lemah semangat terlalu awal dan yang paling penting saya sentiasa optimis untuk melihat bahawa Piala Thomas kali ini kita dapat merangkul kemenangan dengan bergaya.
“Saya juga sentiasa berhubung dengan BAM untuk memastikan kita punya pemain semua dengan prestasinya itu akan terus baik lagi Insya-Allah,” kata Taufiq kepada media selepas majlis berbuka puasa bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini, hari ini.
Kem perseorangan lelaki dilihat mencetuskan kebimbangan dengan yang terbaharu, Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Singapura, Jason Teh 12-21, 14-21 awal pagi tadi.
Begitupun, Taufiq tetap menaruh keyakinan terhadap kemampuan pemain negara dan menuntut mereka kekal fokus menjelang kejohanan di Horsens.
“Jadi saya yakin, saya terus optimis. Ya, cuma atlet kita ataupun pemain-pemain kita perlu terus fokus, dan kita sendiri secara keseluruhannya masyarakat Malaysia perlu terus memberikan sokongan kepada atlet-atlet kita,” katanya.
Selain Zii Jia, antara pemain yang berpotensi mengisi slot perseorangan lelaki negara ke Horsens ialah Leong Jun Hao dan Justin Hoh.-BH Online
