LIPIS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan penerima rumah kurnia kerajaan khususnya Rumah Rakyat Al Sultan Abdullah (Ru’ RASA) di negeri ini supaya tidak menjual atau menyewakan kediaman yang diberikan kepada mereka.
Baginda bertitah, rumah yang dibina menerusi projek berkenaan adalah untuk membantu rakyat yang memerlukan memiliki tempat tinggal selesa dan bukannya untuk tujuan keuntungan.
“Saya harap jagalah rumah ini sebaik mungkin. Jadilah rumah ini syurga kepada kita dan keluarga. Saya nasihatkan jangan jual, jangan sewa. Jika saya dapati ada yang menjual atau menyewakan rumah ini, saya akan ambil tindakan.
“Rumah ini begitu berharga bagi saya dan Raja UAE (Emiriah Arab Bersatu) untuk kesejahteraan rakyat di sini. Saya harap rumah ini akan dapat diingati. Biarlah rumah ini kekal sampai ke anak cucu. Jadikan rumah ini sebagai rumah pusaka sebab tanah ini tanah anda semua. Jaga rumah dengan baik.Kalau perlu pembaikan rumah mohon dengan wakil rakyat,” titahnya ketika berkenaan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al Sultan Abdullah (Ru’ RASA) di Kampung Binjai di sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 22 penerima rumah Ru’RASA dari tiga daerah telah menerima kunci rumah masing-masing iaitu 12 penerima dari daerah Lipis, lapan dari Raub dan dua dari Bentong. – KOSMO! ONLINE
