BUTTERWORTH: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang dua lagi Sekolah Dalam Hospital (SDH) sebagai tambahan kepada 20 sedia ada bagi memastikan murid yang mempunyai masalah kesihatan tidak tercicir dan mendapat akses pendidikan sewajarnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pada masa ini, SDH beroperasi di 12 negeri yang memberi faedah kepada kira-kira 400,000 murid sejak 2011 yang keadaan kesihatan mereka tidak menentu dapat menggunakan ruang disediakan untuk belajar.
Katanya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membabitkan Hospital Pengajar Universiti (HPU) sejak tahun 2011.
“Jadi (hingga hari ini) kita lihat keberkesanan sokongan (terhadap SDH) itu ada, walaupun barangkali mereka (murid yang mengalami masalah kesihatan) tidak dapat bersekolah seperti biasa, kita jayakan juga dalam konteks untuk terus mendokong akademi dan juga sebagai sokongan terapi kepada mereka.
“Oleh sebab itu modul dan juga guru bagi program ini sangat penting yang mana guru-guru yang terpilih masuk SDH ini memang dengan hasrat mereka sendiri, dan mereka memberikan sepenuh komitmen menjayakan program ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program SDH di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, hari ini.
SDH di HSJ adalah yang pertama di Pulau Pinang dan telah memulakan operasi pada 5 Ogos 2024 dengan menerima sejumlah 642 murid.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, dua lagi SDH iaitu masing-masing di Perak Putrajaya kini dalam perancangan untuk pelaksanaan program terbabit.
Fadhlina berkata, kementerian juga akan memastikan setiap guru diberikan kemudahan medium dan peranti sokongan bagi memastikan tugas pengajaran dapat dilaksanakan berdasarkan keadaan kesihatan pelajar sama ada terlantar atau boleh menghadiri kelas.
“Maka fleksibiliti itu ada kepada guru, dan sebab itu guru-guru kita ini memerlukan pelbagai medium sokongan, termasuk smartboard, smart TV, iPad dan sebagainya supaya mereka boleh melaksanakan tugas-tugas itu mengikut kepada keadaan murid-murid ini,” katanya.-BH Online
