KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mempergiatkan penggunaan teknologi mobiliti pintar dan pengurusan infrastruktur digital sebagai sebahagian daripada strategi untuk memperkukuh rangkaian jalan raya negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata berikutan itu negara kini beralih kepada model lebih bersepadu dan dipacu data yang menggabungkan kejuruteraan, teknologi digital serta penyertaan awam bagi mengurus mobiliti dengan lebih cekap.
Peralihan itu berlaku memandangkan proses pembandaran pesat serta pertumbuhan ekonomi di seluruh Asia Tenggara meningkatkan keperluan terhadap pengurusan infrastruktur yang lebih pintar.
“Di seluruh Asia Tenggara, pembangunan infrastruktur berkembang dengan pesat, jadi cabaran sebenar bukanlah sama ada infrastruktur akan terus berkembang tetapi bagaimana kita mengurus infrastruktur itu secara lebih bijak.
“Malaysia kini menyelenggara hampir 296,000 kilometer (km) jalan raya, antara rangkaian jalan terbesar di Asia Tenggara, disokong oleh sistem lebuh raya sepanjang lebih 5,000km yang menghubungkan bandar utama, pelabuhan serta koridor ekonomi di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Purata 4,300 kenderaan baharu masuk jalan raya setiap hari pada 2024
Jelasnya lagi, pada tahun 2024 saja, negara mencatatkan 1.57 juta pendaftaran kenderaan baharu, bersamaan kira-kira 4,300 kenderaan baharu memasuki jalan raya setiap hari.
“Bagi menangani tekanan ini, kementerian memperluaskan penggunaan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) serta platform digital bersepadu untuk meningkatkan pemantauan trafik, mengoptimumkan aliran trafik dan memperkukuh keselamatan jalan raya
“Dalam masa yang sama penyertaan awam juga memainkan peranan penting di mana melalui aplikasi mudah alih MYJalan, rakyat boleh melaporkan kerosakan jalan dan isu keselamatan secara terus kepada pihak berkuasa.
“Sejak dilancarkan, platform itu sudah menerima lebih 54,000 laporan awam, dengan lebih 90 peratus berjaya diselesaikan, sekali gus membantu pihak berkuasa bertindak balas dengan lebih pantas terhadap isu infrastruktur di seluruh negara,” katanya.
Negara juga memperkukuh tadbir urus infrastruktur melalui Platform Maklumat Pembinaan Nasional, yang menyatukan data pembinaan, maklumat peraturan serta sistem pemantauan projek bagi menyokong perancangan dan pengurusan aset yang lebih cekap.
“Projek infrastruktur utama juga terus memperluaskan kesalinghubungan di seluruh negara di mana Lebuhraya Pan Borneo, yang merentasi lebih 2,000km di Sabah dan Sarawak, dijangka meningkatkan logistik dengan ketara serta membuka lebih banyak peluang ekonomi di Malaysia Timur.
“Pada masa sama, di bawah Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13), kerajaan akan membina dan menaik taraf lebih 2,800km jalan luar bandar bagi meningkatkan kesalinghubungan komuniti di bandar kecil serta kawasan pertanian,” katanya.
Nanta Linggi berkata, dengan populasi bandar di Asia Tenggara dijangka melebihi 400 juta orang menjelang 2030, negara sedang memposisikan dirinya sebagai hab serantau bagi inovasi mobiliti pintar dan teknologi infrastruktur.
“Membina lebih banyak infrastruktur saja tidak lagi mencukupi kerana masa depan terletak pada pembangunan infrastruktur yang lebih pintar, selamat, cekap dan mampan.
“Rakan industri global juga dijemput untuk bekerjasama dengan Malaysia melalui platform akan datang seperti Malaysia Road Conference dan MY ASEAN Roads and Traffic Expo yang bertujuan menghimpunkan pembuat dasar, jurutera dan pemimpin teknologi bagi memajukan masa depan infrastruktur jalan raya serta mobiliti pintar di rantau ini,” katanya.-BH Online
