MELAKA: Kerajaan Melaka merancang menyediakan sekurang-kurangnya satu pusat rehat khusus bagi komuniti pekerja gig di setiap daerah di negeri ini sebagai usaha meningkatkan kebajikan golongan berkenaan yang kini dianggarkan melebihi 5,000 orang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kemudahan dikenali sebagai Rider Pitstop itu akan dibangunkan di beberapa lokasi strategik bagi membolehkan penggiat sektor berkenaan berehat dengan lebih selesa dan selamat ketika menunggu pesanan atau pelanggan.
“Sebagai kerajaan yang benar-benar sayang rakyat, kita merancang untuk menyediakan lebih banyak pusat istirahat khusus atau Rider Pitstop di beberapa lokasi strategik di negeri ini supaya komuniti rider mempunyai tempat berehat yang lebih selesa dan selamat.
“Selain itu, kerajaan negeri akan menambah empat lagi lokasi baharu pengambilan penumpang bagi perkhidmatan p-hailing, antaranya di Melaka Sentral, Pantai Klebang, Hospital Melaka dan AEON Bandaraya Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Moreh Bersama Rider dan Penggiat Gig di Seri Bendahara, malam tadi.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima sebarang permohonan, aduan, pandangan serta permohonan bantuan daripada komuniti pekerja gig di negeri ini dan semua perkara itu akan diselaraskan oleh kerajaan negeri sebelum dikumpul dan dibawa untuk perhatian pada peringkat Persekutuan.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut menyalurkan Sumbangan Ramadan berjumlah RM50,000 kepada komuniti sektor p-hailing dan penggiat gig di Melaka sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada ekonomi negeri.
Terdahulu, Ab Rauf menyerahkan sumbangan kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) bernilai RM30,000 kepada 12 persatuan mahasiswa Anak Melaka daripada 12 institusi pengajian tinggi (IPT) bersempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Anak Melaka.
Sumbangan itu sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan mahasiswa terus aktif dalam pelbagai program pembangunan diri dan diharap dapat membantu persatuan mahasiswa berkenaan di universiti bagi melaksanakan pelbagai program yang memberikan manfaat kepada ahli.-BH Online
