KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan dividen 5.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan jumlah agihan sebanyak RM524.74 juta, kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Agihan itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan LTAT dalam memperkukuh keselamatan kewangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bagi tempoh berkenaan, LTAT merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM749.49 juta, manakala keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta.
Pada masa sama, jumlah rizab gabungan dana meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun sebelumnya.
Prestasi itu juga menandakan tahun keempat berturut-turut LTAT mencatat pulangan dividen sekurang-kurangnya lima peratus, hasil pendekatan pelaburan yang lebih berdisiplin serta usaha mengoptimumkan portfolio pelaburan dalam persekitaran ekonomi yang dinamik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata LTAT mampu mengumumkan dividen pada kadar lebih baik berbanding tahun sebelumnya walaupun ekonomi global berdepan ketidaktentuan.
Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan LTAT masih mampu mencatat prestasi baik tahun lalu meskipun keadaan global yang bergolak memberi kesan kepada ekonomi.
“Pertama, saya ucap tahniah kepada LTAT kerana masih mampu mencapai prestasi dan pencapaian yang baik disebalik ketidaktentuan global yang berlaku.
“Ini membolehkan LTAT untuk mengumumkan dividen pada kadar yang lebih baik daripada tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas mengumumkan kadar dividen LTAT di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, dengan segala perancangan yang telah diluluskan dan akan dilaksanakan termasuk GEMPUR30, LTAT diyakini berada pada landasan yang betul untuk mengurus dana simpanan anggota tentera.
“Saya percaya LTAT berada pada landasan yang betul untuk mengurus dana simpanan anggota tentera yang pada akhirnya boleh membawa pulangan yang baik kepada anggota-anggota,” katanya.
Sementara itu Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi, berkata prestasi kukuh itu adalah hasil perubahan strategik jangka panjang dalam operasi dana berkenaan.
“Keputusan yang diumumkan hari ini menunjukkan LTAT berada dalam keadaan stabil dan bersedia untuk memasuki fasa pertumbuhan institusi yang seterusnya,” katanya.
Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu LTAT melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi meningkatkan tadbir urus, memperkukuh disiplin pelaburan serta menambah baik tahap akauntabiliti dalam pengurusan simpanan pencarum.
Beliau berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada transformasi institusi LTAT bagi memastikan dana berkenaan berada pada landasan lebih mampan pada masa hadapan.
Melangkah ke hadapan, transformasi jangka panjang LTAT akan dipacu menerusi pelan strategik GEMPUR30 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Pelan hala tuju itu memberi tumpuan kepada pengoptimuman dan pengimbangan semula portfolio pelaburan termasuk pelupusan terpilih serta pelaburan semula bagi menyalurkan modal kepada sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang lebih kukuh.-BH Online
