BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan strategi baharu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, susulan ketegangan di Asia Barat.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata satu mesyuarat dalaman akan diadakan bersama pihak berkepentingan industri pelancongan bagi meneliti perkembangan semasa, di samping menyusun semula strategi promosi.
Katanya, strategi itu akan dikemukakan nanti selepas perbincangan dibuat petang esok.
“Memang akan terjejas (promosi TMM yang telah dirancang)… bagaimanapun, kita akan adakan satu mesyuarat petang esok antaranya dalam kementerian kita akan berbincang untuk menyusun balik (rancangan) ke strategi baharu.
“Jadi tunggu sekejap, bagi kita berbincang dahulu selepas itu nanti saya akan maklumkan,” katanya ketika menghadiri Program Iftar Ramadan sempena TMM 2026 di padang inap desa Kampung Mengkuang Titi, Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Seramai 1,300 penduduk sekitar Permatang Pauh menghadiri majlis secara santai itu termasuk 30 pelajar pertukaran Universiti Sains Malaysia (USM) dari Iraq, Iran, Korea Selatan dan China.
Hadir sama, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, Goh Choon Aik.
Mengulas gangguan penerbangan ke Asia Barat, King Sing berkata beberapa syarikat penerbangan menggantung sementara penerbangan berikutan penutupan ruang udara di rantau berkenaan.
“Selepas perbincangan nanti, kita akan melihat bagaimana strategi boleh diselaraskan serta bagaimana kita boleh menampung kesan terbabit melalui usaha promosi lain,” katanya.
Kempen TMM 2026 menyasarkan ketibaan awal 47 juta pelancong antarabangsa dengan hasil pelancongan sebanyak RM329 bilion.
Bulan pertama TMM 2026 menyaksikan pergerakan 9.4 juta penumpang di semua lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holding Berhad seluruh negara.-BH Online
