Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah menjalankan siasatan berhubung penularan video memaparkan sepanduk mengandungi ayat suci al-Quran yang didakwa diterjemah secara salah bagi mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan mengarahkan siasatan segera dilakukan serta tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Perbuatan ini bukan saja mengguris maruah umat Islam, apatah lagi pada bulan Ramadan, malah mencemar kemuliaan al-Quran kerana ditafsir jauh daripada konteks dan makna sebenar ayat berkenaan. 

“Saya menggesa semua pihak menghayati al-Quran dengan tradisi keilmuan yang panjang dan tidak sewenang-wenangnya menterjemah mengikut nafsu sehingga menyesatkan daripada maksud sebenar, apatah lagi untuk menjadikan dalil budaya yang bertentangan nilai Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu video memaparkan sepanduk mengandungi petikan ayat al-Quran didakwa diterjemah secara tidak tepat ketika satu perarakan di ibu negara, sehingga menimbulkan reaksi pelbagai pihak.-BH Online