Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Keterjaminan Tenaga dan Kesan Konflik Asia Barat hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu ditubuhkan bagi menyelaras tindakan kerajaan berkaitan perancangan keterjaminan tenaga dan menilai kesan perkembangan konflik di Asia Barat dengan tumpuan bagi memastikan kepentingan selain kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Jawatankuasa itu melibatkan Kementerian Ekonomi; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA); Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Bank Negara Malaysia.

“Hasil perbincangan jawatankuasa ini akan dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri Khas pada 13 Mac seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi,” kata beliau menerusi hantaran media sosialnya.

Terdahulu, Anwar berkata kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji kesan konflik Amerika Syarikat (AS)–Iran terhadap ekonomi negara susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Anwar berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh Amir Hamzah yang akan membuat penilaian bersama Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan menteri lain yang berkaitan.

Ketegangan di Asia Barat kekal memuncak sejak 28 Februari lalu apabila Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran yang kemudiannya mencetuskan serangan balas oleh Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan laluan perdagangan global khususnya di Selat Hormuz.

Selat sempit terletak di antara Iran dengan Oman itu antara laluan perkapalan paling penting di dunia bagi penghantaran minyak dan gas dengan sebahagian besar bekalan tenaga global melalui kawasan berkenaan setiap hari.

Sehubungan itu, sebarang ketegangan geopolitik di kawasan berkenaan berpotensi memberi kesan kepada pasaran tenaga, kos logistik serta ekonomi global.-BH Online