Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan meneliti beberapa langkah penjimatan bagi mengurangkan penggunaan tenaga di pejabat kerajaan, selain memperluas amalan bekerja dari rumah (WFH) dalam kalangan penjawat awam.

Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata, langkah itu selaras dilaksanakan beberapa negara seperti Thailand dalam usaha mengurangkan kos operasi kerajaan.

Menurutnya, KESUMA turut menyokong keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan sebarang majlis rumah terbuka Aidilfitri membabitkan kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tahun ini.

Katanya, keputusan itu dibuat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Asia Barat, termasuk ketegangan antara Iran dan Israel.

“Langkah ini juga bagi memastikan kerajaan menunjukkan contoh kepada rakyat dalam mengamalkan perbelanjaan secara berhemah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan semua kementerian, jabatan kerajaan, agensi, GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini.

Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan Jumaat ini bagi meneliti kedudukan fiskal negara, selain memantau perkembangan semasa, khususnya impak ekonomi secara lebih dekat.

Ramanan berkata, adalah tidak adil untuk meminta rakyat berjimat, sedangkan kerajaan sendiri tidak mengamalkan penjimatan.

“Kerajaan perlu memimpin melalui teladan,” katanya sambil menambah KESUMA akan membincangkan langkah boleh dilaksanakan bagi menyokong usaha penjimatan.-BH Online