Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri dan semua anggota pentadbiran kerajaan serta jabatan akan dihadkan lawatan atau pun kunjungan ke luar negara buat masa ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ini langkah waspada dan penjimatan yang dilaksana kerajaan susulan ketegangan terus memuncak di Asia Barat dengan kesannya mula dirasai ke atas ekonomi negara.

“Melainkan yang memang dalam jadual (lawatan ke luar negara) yang wajib dihadiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu Perdana Menteri berkata kerajaan memutuskan supaya semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan sebarang perayaan Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini.

Anwar berkata, ini bagi memberikan satu mesej supaya perbelanjaan lebih cermat dan sederhana dilaksana ketika ketegangan di Asia Barat masih belum menunjukkan tanda untuk reda.

“Ada yang bertanya kalau keadaan terkawal dan barang keperluan seperti minyak dan gas itu masih boleh disediakan dan mencukupi, apa keperluan?, kita (putuskan) waspada dan berjimat. 

“Saya kata ini langkah waras bagi kita supaya jangan kita nanti terjebak dengan keadaan yang lebih parah. Jadi sebaiknya kita ambil sikap lebih sederhana, lebih bertanggungjawab,” katanya.-BH Online