Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati serta sokongan Malaysia kepada Kuwait dan Oman yang berdepan cabaran terhadap kedaulatan, keselamatan dan infrastruktur negara berkenaan susulan konflik di Asia Barat. 

Perdana Menteri berkata, perkara itu disampaikan beliau menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah dan Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Albusaidi.

“Kami juga bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di rantau Timur Tengah susulan konflik yang membabitkan Israel – Amerika Syarikat (AS) dan Iran. 

“Kesempatan ini juga saya sampaikan penghargaan atas komitmen kedua-dua kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang berada di sana,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Selain itu, Anwar berkata, Malaysia turut menyanjungi usaha murni Oman yang berusaha keras menjayakan proses mediasi di antara Kerajaan AS dan Iran. 

“Kami sependapat bahawa semua pihak perlu mengutamakan pendekatan damai dan menahan diri daripada tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan serantau. 

“Semoga keberkatan Ramadan memperkukuh perpaduan ummah serta membuka jalan ke arah keamanan dan kestabilan yang lebih berkekalan,” katanya. -BH Online