ALOR SETAR: Golongan belia adalah aset penting dalam mengekalkan keharmonian negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata, golongan muda perlu berperanan sebagai jambatan menghubungkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, sekali gus menjadi ejen perpaduan yang menyatukan rakyat.
“Malaysia adalah negara majmuk dengan pelbagai kaum dan agama, jadi kita perlu saling menghormati antara satu sama lain terutama anak muda yang sebenarnya aset untuk mengekalkan keharmonian negara kita,” katanya selepas melancarkan Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Kedah serta Iftar Jamaie di Masjid Al Arifin Kompleks Pendidikan Al Hikmah dekat sini, malam tadi.
Dr Mohammed Taufiq berkata, golongan belia juga harus meningkatkan pengetahuan termasuk menguasai ilmu dunia dan akhirat bagi melahirkan generasi pemimpin masa depan berkualiti dengan sahsiah serta jati diri yang kukuh.
“Program Rakan Masjid ini misalnya, bertujuan mengimarahkan masjid sebagai institusi yang mampu melahirkan pemimpin masa depan berkualiti, bukan saja dari segi kepimpinan tetapi juga sahsiah, jati diri serta ilmu dunia dan akhirat,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata, inisiatif berkenaan adalah kesinambungan daripada pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Februari lalu, di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang kini diperluas ke peringkat negeri, parlimen, daerah serta kampung.
Beliau berkata, program pada peringkat negeri ini menghimpunkan kira-kira 600 hingga 700 anak muda dari pelbagai daerah, membabitkan aktiviti seperti pertandingan menulis khat, azan dan hafazan serta sesi tausiah.
Katanya, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi memastikan program seumpama itu dapat diteruskan sepanjang tahun dan tidak hanya khusus pada Ramadan.
“Pelaksanaan program ini tidak bersifat sekali saja, sebaliknya akan diteruskan dengan pelbagai program susulan termasuk latihan kepimpinan dan aktiviti sukan.
“Kita juga sediakan pelbagai geran untuk dinikmati jawatankuasa belia. Kita akan salurkan supaya bukan saja program kepimpinan, malah program sukan pada peringkat akar umbi khususnya (peringkat) masjid dapat dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata, pihaknya turut merancang bekerjasama dengan rumah ibadat lain untuk membentuk jawatankuasa belia bukan Islam bagi memperluas program kepimpinan secara inklusif. – BERNAMA
