KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan badan korporat, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi serta individu mengambil peluang menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih) bagi menyahut seruan memperkasa peranan wanita di negara ini.
Perdana Menteri berkata, Skim Lindung Kasih yang diperkenal sejak 2022 di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), memberi perlindungan sosial dan menjamin satu peraturan kaedah ekosistem pekerjaan lebih responsif dan terangkum kepada golongan berkenaan.
“Oleh sebab Dasar Wanita Negara 2025-2030, tumpuannya ialah pemerkasaan wanita, maknanya memberikan ruang, peluang, pendedahan kegiatan ekonomi dan perlindungan sosial,” katanya berucap pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, menerusi tajaan caruman itu, secara langsung akan memperkukuh penyertaan wanita dalam tenaga buruh, pelbagai langkah sudah digerakkan termasuk insentif cukai.
Katanya, pihak yang menyalurkan tajaan caruman Skim Lindung Kasih melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN), layak menikmati pengecualian cukai selaras dengan peruntukan Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Insentif cukai ini termasuk dalam bidang penjagaan anak-anak, pengaturan kerja fleksibel, program sokongan kerjaya, latihan kemahiran dan dasar mesra keluarga,” katanya
Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita), yang akan berperanan memudahkan akses kepada perkhidmatan yang lebih pantas, terselaras dan mesra mangsa kepada golongan itu.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dengan caruman RM120 setahun, skim Lindung Kasih ini memberi pelbagai manfaat serta faedah perubatan bagi yang hilang upaya selain memudahkan bagi menjalani proses pemulihan.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut berbangga dengan usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang mewujudkan PRISMAnita.
Beliau berkata, inisiatif ini tidak terhad kepada penyediaan perkhidmatan di bawah KPWKM semata-mata, sebaliknya turut menawarkan sokongan menyeluruh kepada wanita merangkumi khidmat nasihat, rujukan serta penyelarasan kes bersama pelbagai pihak berkepentingan.
“(PRISMAnita) akan berperanan sebagai platform maklumat dan pemadanan perkhidmatan untuk wanita serta informasi berkaitan bantuan dan dana yang boleh diakses.
“Selain berfungsi sebagai pusat intervensi dan sokongan krisis yang menyelaras bantuan kepada mangsa keganasan rumah tangga, termasuk sokongan pengurusan isu kekeluargaan, pengukuhan kumpulan sokongan, serta padanan penempatan sementara apabila diperlukan,” katanya.
Katanya, PRISMAnita turut berperanan sebagai hub advokasi bagi memperkasa kesedaran mengenai undang-undang dan hak wanita, termasuk Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), serta hak-hak pasca perceraian.
“(Seterusnya) sebagai penyedia perkhidmatan melalui sesi bimbingan, kaunseling, serta rundingan berkala bersama peguam, penasihat kewangan dan pakar bagi memastikan wanita menerima sokongan yang holistik, tersusun dan berterusan,” katanya.-BH Online
