SUNGAI BULOH: Seramai 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasarkan menerima penempatan pekerjaan sehingga 2030 melalui Program LINDUNG Kerjaya MYFuture Jobs Wira.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu adalah kolaborasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurutnya, kerjasama itu menghubungkan veteran secara lebih strategik menerusi pemetaan pekerjaan berdasarkan lokaliti veteran dan industri.
“Skop kerjasama yang dimeterai memberi penekanan kepada padanan pekerjaan, perkongsian data veteran, integrasi Veteran Integrated Benefit System (VIBES) dan MYFutureJobs serta perlindungan sosial yang bakal memanfaatkan kumpulan sasar terutamanya dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
“Usaha ini wajar agar veteran di seluruh pelosok Malaysia dapat merasai nikmat pekerjaan yang bermaruah dan tidak hanya tertumpu di bandar-bandar besar sahaja.
“Inisiatif ini sejajar dengan matlamat Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 yang memberi keutamaan untuk memperkasa laluan kerjaya kedua perwira negara dipacu sektor awam dan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERHEBAT, JHEV ATM dan PERKESO di Kompleks PERHEBAT, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Pemeteraian dokumen MoU diadakan antara Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor; Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sementara itu, Ramanan berkata, menerusi kolaborasi strategik itu, PERKESO menggerakkan enam inisiatif utama bagi merealisasikan sasaran 2,500 pendaftaran, dengan penempatan melebihi 1,000 veteran.
“Usaha ini merangkumi pengesahan identiti veteran secara rasmi oleh JHEV dan PERHEBAT bagi membolehkan akses eksklusif kepada peluang pekerjaan, di samping integrasi data antara portal MYFutureJobs dan Veteran Integrated Benefit System (VIBES) bagi memperkukuh ketepatan pemadanan kerjaya.
“Pengambilan mereka bukan sahaja membekalkan industri dengan tenaga kerja kompeten, malah langkah strategik negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata, bagi tempoh 2020 hingga 2025, seramai 5,530 veteran berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan.
“Sepanjang 2025, seramai 573 veteran memulakan kerjaya baharu dengan sektor pembuatan menjadi majikan tertinggi yang memberi penempatan, diikuti sektor perkhidmatan dan teknikal.
“Pendaftaran veteran di portal MYFutureJobs mencecah lebih 14,000 individu, sekali gus membuktikan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan transisi kerjaya yang tersusun,” katanya.-BH Online
