PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap pembabitan remaja sekolah dalam aktiviti kumpulan pengganas di negara ini.
Justeru, Perdana menteri berkata semua pihak perlu berwaspada dan sentiasa bersedia memastikan generasi muda tidak terjebak anasir jahat dan keganasan yang mahu campur tangan dalam urusan politik kenegaraan.
Beliau berkata demikian mengulas isu yang timbul baru-baru ini membabitkan murid sekolah yang terbabit dengan persiapan kegiatan ke arah keganasan.
Perkara itu yang didedahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dengan Perdana Menteri berkata ia perlu diberi perhatian serius kerana membabitkan kegiatan yang salah berpunca daripada salah didikan.
“Anak -anak kita salah didikan, salah pendedahan, kemudian ada rencana-rencana luar, asing yang cemburu dan mahu campur tangan dalam urusan politik kenegaraan kita.
“Ini harus menyebabkan kita lebih waspada,” katanya pada perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara memaklumkan pihaknya melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh di negara ini dengan penahanan enam remaja termasuk tiga bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.
Beliau berkata, suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun ditahan dalam operasi dilancarkan Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Februari di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.-BH Online
