KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP), satu pelan tindakan strategik untuk memposisikan pasaran modal Malaysia sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dan kemakmuran ekonomi.
Dengan visi jangka panjang 20 tahun, CMP menyokong transformasi ekonomi dengan mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor baru muncul sambil memperkukuh peranan pasaran dalam membina ekonomi yang lebih maju, inklusif, mampan dan bersepadu serantau.
Di bawah CMP, pasaran modal Malaysia diunjurkan mengatasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak enam hingga lapan peratus kepada RM5.8 hingga RM6.3 trilion menjelang 2030 berbanding RM4.3 trilion pada 2025.
Ia didorong oleh penyenaraian baharu, mobilisasi modal institusi, program penciptaan nilai dan pembiayaan bon korporat yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata CMP itu menetapkan empat perkara iaitu memperkukuh pengumpulan modal, memberi ganjaran kepada dinamisme perniagaan, menerapkan kemampanan sebagai pemacu nilai dan meluaskan penyertaan bermakna merentasi ekonomi.
Katanya, cita-cita itu sejajar sepenuhnya dengan transformasi negara yang lebih luas.
“Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kita sedang mempercepatkan menaiktaraf industri, memperdalam kerumitan ekonomi dan membina firma yang boleh bersaing di peringkat serantau dan global.
“Pasaran modal kita mesti memperkasa peralihan ini dengan menyediakan laluan bermakna untuk syarikat mengumpul dana dengan cekap, meningkatkan skala dengan yakin dan berinovasi dengan tujuan,” katanya pada majlis pelancaran CMP di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi, berkata CMP itu mencerminkan usaha kolektif oleh pembuat dasar dan peserta pasaran modal untuk memajukan pasaran modal Malaysia dan menyokong aspirasi negara.
Beliau berkata, pelan induk itu adalah pelan yang bercita-cita tinggi dan SC menyasarkan untuk mengembangkan saiz pasaran modal sebanyak RM1.5 hingga RM2 trilion dalam tempoh lima tahun.
“Ia mencerminkan kepercayaan bahawa kita mempunyai banyak ruang penambahbaikan dan keperluan untuk mengejar, dari segi pertumbuhan,” katanya.
Dengan mengambil kira aspirasi dan megatrend global Malaysia, CMP berlandaskan empat tema luas tetapi saling berkaitan iaitu kerancakan, keterangkuman, kemampanan dan peluang serantau itu akan memanfaatkan pasaran modal Islam Malaysia serta kekuatan kawal selia dan tadbir urus.
Hasil itu diperkukuh lagi oleh kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam, menerapkan prinsip Maqasid Al-Syariah ke dalam penawaran yang boleh dilaburkan dan berdaya saing di peringkat global.
Di samping itu, kecemerlangan pengawalseliaan dan tadbir urus adalah penting untuk memastikan pasaran modal kekal adaptif, stabil dan bersedia untuk masa hadapan.
Bagi memastikan penyampaian dan akauntabiliti yang berkesan, Jawatankuasa Pemandu Pelan Induk Modal, yang terdiri daripada pegawai kerajaan utama dan wakil sektor swasta, akan ditubuhkan untuk menyelia pelaksanaan CMP.-BH Online
