Niaga hadapan minyak sawit Malaysia melonjak lebih sembilan peratus hari ini, peningkatan terbesar dalam tempoh tiga tahun, susulan jangkaan bahawa kenaikan harga minyak mentah akan meningkatkan permintaan terhadap bahan mentah biodiesel.
Kontrak penanda aras minyak sawit bagi penghantaran Mei di Bursa Malaysia Derivatives meningkat RM296, atau 6.78 peratus, kepada RM4,663 (AS$1,175.74) satu tan metrik pada waktu rehat tengah hari selepas melonjak ke paras RM4,803 lebih awal pada hari ini, iaitu paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun.
“Niaga hadapan melonjak sehingga had maksimum bagi kontrak Mei hari ini susulan kenaikan luar biasa harga tenaga dan minyak sayuran pesaing,” kata ketua penyelidikan broker minyak sayuran berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani dari Sunvin Group.
Harga minyak melonjak lebih 25 peratus hari ini ke paras tertinggi sejak pertengahan 2022 selepas beberapa pengeluar utama mengurangkan bekalan, selain kebimbangan terhadap gangguan penghantaran berpanjangan berikutan perang yang semakin meluas antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Niaga hadapan minyak mentah yang lebih kukuh menjadikan minyak sawit pilihan lebih menarik sebagai bahan mentah biodiesel.
Kontrak minyak soya paling aktif di Dalian Commodity Exchange meningkat 5.83 peratus, manakala kontrak minyak sawit naik tujuh peratus.
Minyak soya di Chicago Board of Trade pula meningkat 4.54 peratus.-BH Online
