SEREMBAN, 7 Mac – Kementerian Luar Negeri (KLN) menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas akibat ketegangan konflik di Asia Barat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beberapa negara di rantau berkenaan menutup ruang udara berikutan konflik yang menyebabkan pembatalan ribuan penerbangan antarabangsa.
Situasi itu menjejaskan perjalanan, khususnya jemaah umrah dan penumpang transit yang tidak dapat meneruskan perjalanan berikutan gangguan operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang utama termasuk di Dubai, Doha dan Jeddah.
“Kerajaan menasihatkan supaya rakyat Malaysia menangguhkan dulu hasrat untuk pergi menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah dan kita akan keluarkan nasihat setiap hari mengikut perkembangan keadaan di sana.
“Sebab keadaan di sana kita tidak dapat dijangka apa juga akan boleh berlaku, kita tidak jangka bahawa Riyadh boleh terkena bom, tetapi seperti yang saya katakan ia tidak kepada sasaran awam dan sasaran berkepentingan”, katanya.
Beliau berkata kepada media pada Majlis Khatam Al-Quran Sempena Nuzul Quran anjuran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan dan Pegawai Kanan Negeri Sembilan di Dewan Tuanku Aishah Rohani, di sini.
Bagaimanapun, beberapa syarikat penerbangan termasuk Emirates, Qatar Airways dan Saudi Airlines telah mula menyambung semula operasi secara berperingkat bagi membantu membawa pulang penumpang yang terkandas.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas diminta sentiasa berhubung dengan kedutaan Malaysia serta mengemas kini maklumat melalui sistem e-Konsular bagi memudahkan sebarang urusan bantuan.
Kementerian Luar turut menegaskan situasi keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan terus dipantau dari semasa ke semasa.-Berita RTM
