MELAKA: Kabinet meluluskan secara dasar penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi mengawal selia kebajikan dan perlindungan pekerja gig di negara ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata penubuhan suruhanjaya itu bertujuan menguatkuasakan Akta Pekerja Gig yang diluluskan tahun lalu, selain memastikan ekosistem pekerjaan gig lebih teratur dan terjamin.
Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara yang terbabit dalam pelbagai sektor perkhidmatan, termasuk penghantaran makanan dan e-hailing.
Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar daripada mereka masih belum mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Sehubungan itu, kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi memastikan caruman perlindungan sosial dapat dibuat secara lebih menyeluruh, termasuk membolehkan caruman dilakukan bukan sahaja oleh pekerja gig sendiri, malah turut membabitkan penyedia perkhidmatan yang menjadi platform kepada mereka.
“Berbeza dengan pekerjaan konvensional, pekerja gig tidak mempunyai majikan tetap, sebaliknya berurusan dengan penyedia perkhidmatan yang menyediakan platform pekerjaan.
“Justeru, suruhanjaya ini akan memainkan peranan penting dalam menetapkan garis panduan dan tatacara yang berkaitan bagi memastikan kebajikan pekerja gig terus terpelihara,” katanya selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata selain aspek perlindungan sosial, suruhanjaya terbabit juga akan meneliti kadar bayaran minimum kepada pekerja gig yang ketika ini berbeza mengikut perkhidmatan dan kadar perbatuan.
Katanya, susulan itu kerajaan berhasrat mencari penyelesaian terbaik supaya kadar bayaran yang lebih adil dapat ditetapkan sekali gus menjamin kebajikan golongan berkenaan.
Serentak itu, beliau berkata perhatian turut diberikan kepada usaha meningkatkan kemahiran pekerja gig melalui program peningkatan kemahiran dan latihan semula.
“Latihan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkasakan bagi membantu mereka memperoleh kemahiran baharu.
“Inisiatif itu diharap membuka peluang kepada pekerja gig untuk beralih kepada pekerjaan tetap serta membina kerjaya dalam bidang teknikal pada masa depan.
“Kerajaan yakin penubuhan SEGiM mampu memperkukuh perlindungan sosial serta menjamin masa depan lebih baik kepada jutaan pekerja gig di negara ini,” katanya.-BH Online
