Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Islam tidak mengajar umatnya membezakan simpati kepada mana-mana pihak walau pun ada dalam kalangan mereka berbeza fahaman mazhab atau agama.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan itulah diambil Malaysia dalam menyuarakan rasa simpati terhadap negara Islam yang diserang di Asia Barat dan ia bukan bermaksud menentang kuasa besar dunia.

Katanya, sebagai umat Islam, sikap bersimpati terhadap musibah yang menimpa negara mempunyai majoriti umat Islam bukanlah sesuatu yang bercanggah dengan syariat Islam.

“Sebagai umat Islam, apa pun mazhab yang kita pegang, kita harus bersimpati, bukan sahaja negara itu diserang, tetapi pemimpin utama negara itu juga dibunuh.

“Bekas presidennya dibunuh, bekas menteri pertahanannya dibunuh, malah panglima angkatan tenteranya juga dibunuh dan yang baharu dilantik menggantikan mereka turut dibunuh.

“Ini sesuatu yang harus kita tentang. Takkan kita tidak boleh menyuarakan rasa simpati kepada negara yang seagama dengan kita sehingga dikatakan kita tidak bersama dengan sebuah negara besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, walaupun mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, Malaysia tidak pernah mengambil pendirian untuk membenci penganut agama lain.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat supaya terus bersyukur dengan keharmonian serta kebersamaan yang dikecapi di negara ini.

“Jagalah keamanan, jagalah keharmonian serta hormati perbezaan agama, bahasa dan kebudayaan yang ada, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Sementara itu Bernama, melaporkan Ahmad Zahid menyertai hampir 1,000 umat Islam menunaikan solat isyak dan tarawih di Masjid Salmah Khamis di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah di sini malam ini, sempena Majlis Santunan Kasih Ramadan, Solat Tarawih dan Moreh Kerajaan Negeri Melaka.

Selepas solat, beliau meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah serta menikmati jamuan moreh bersama penduduk setempat di pekarangan masjid berkenaan.

Beliau turut meraikan majlis ulang tahun ke-14 Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka bersama 286 pelajar tahfiz yang turut hadir memeriahkan program berkenaan.

Program itu merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan di samping merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.-BH Online