Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut komitmen berterusan daripada seluruh penjawat awam dalam menjayakan aspirasi Malaysia MADANI bagi membawa negara ke tahap lebih maju dan berdaya saing.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata usaha itu memerlukan penerapan nilai amanah, integriti serta profesionalisme tinggi, terutama dalam mendepani suasana dunia yang semakin tidak menentu dan mencabar ketika ini.

Beliau membuat gesaan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan bersama warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Mesyuarat ini bagi membincangkan langkah reformasi perkhidmatan awam demi memperkukuh kecekapan tadbir urus serta mutu penyampaian kepada rakyat,” katanya dalam catatan itu.

Selain itu, Anwar menegaskan agenda reformasi tersebut terkait rapat dengan penerapan teknologi baharu termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi meningkatkan produktiviti.

Ia juga bertujuan mempercepat proses kerja serta memantapkan keupayaan perkhidmatan awam agar lebih responsif, cekap dan berkesan dalam memenuhi keperluan rakyat.– BERNAMA