Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membentangkan hasil kajian berhubung kesan kepada bekalan makanan negara susulan krisis di Asia Barat, pada minggu depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kajian itu penting bagi melihat secara terperinci sejauh mana kesan daripada konflik yang berlaku itu kepada bekalan makanan negara.

Katanya, beliau sudah mengarahkan pegawainya di bahagian sekuriti makanan untuk melakukan kajian berkenaan.

“Setakat ini Malaysia tidak terlalu bergantung kepada negara Asia Barat kerana jumlah eksport banyak. Rakan dagangan kita dalam pertanian adalah negara ASEAN selain India, Pakistan, Australia, New Zealand, Brazil dan China,” katanya selepas merasmikan Karnival Cahaya Aidilfitri KPKM dan Majlis Iftar Kasih di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter demi untuk rakyat Malaysia meskipun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan situasi terkini konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, kenaikan harga minyak mentah global berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara, namun kerajaan bertekad untuk mempertahankan harga petrol RON95 bagi program Budi MADANI RON95 (BUD195).

Mengulas lanjut, Mohamad yakin sekiranya terjejas pun ia dijangka tidak terlalu besar kerana perdagangan di kawasan berkenaan lebih berkait dengan minyak.

“Bagaimanapun, kenaikan harga minyak mungkin akan memberi kesan kepada kos pengeluaran dan harga bahan makanan. Kita akan lihat selepas kajian berkenaan dibentangkan minggu hadapan,” katanya.-BH Online