Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TEHRAN: Angka kematian di Iran terus meningkat kepada sekurang‑kurangnya 1,332 orang sejak kempen serangan udara besar‑besaran oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel bermula Sabtu lalu, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran.

Angka itu selari dengan laporan media antarabangsa yang merekodkan lebih 1,230 kematian pada peringkat awal konflik, dengan jumlah dijangka terus meningkat.

Serangan yang memasuki hari ketujuh itu menyasarkan bandar-bandar utama serta infrastruktur kritikal di seluruh negara, mengakibatkan kerosakan besar dan menambah tekanan terhadap perkhidmatan kecemasan yang kini beroperasi pada kapasiti maksimum.

Sebahagian besar mangsa dilapor terkorban dalam serangan yang mengenai pusat bandar padat serta kemudahan awam penting.

Media tempatan memetik Persatuan Bulan Sabit Merah sebagai berkata ribuan lagi cedera dalam serangan berterusan itu, yang kini digambarkan sebagai antara krisis kemanusiaan paling meruncing dalam sejarah moden Iran.

Pihak berkuasa bimbang angka korban akan terus meningkat kerana operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di bawah runtuhan bangunan di beberapa bandar utama.

Serangan yang dinamakan “Operation Epic Fury” oleh AS dan Israel turut mengakibatkan kehilangan besar kepimpinan tertinggi republik itu, termasuk Ayatollah Ali Khamenei, yang disahkan terbunuh dalam serangan awal Sabtu lalu.

Kematian Khamenei dalam operasi tersebut turut mengorbankan beberapa pegawai kanan negara, sekali gus mencetuskan serangan balas besar‑besaran daripada Tehran ke atas pelbagai sasaran AS dan Israel di seluruh Asia Barat.

Situasi keselamatan terus merosot dengan ratusan serangan balas, peluru berpandu dan dron dilancarkan oleh Iran ke pangkalan tentera AS serta bandar utama Israel, dalam konflik yang semakin merebak ke seluruh rantau.-Astro Awani