Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu FGV Holdings Bhd dijangka melibatkan golongan profesional bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan susulan peletakan jawatan Fakhrunniam Othman.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan pelantikan segera perlu dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan terpelihara dan mengelak sebarang lompang yang berpanjangan.

“Sebaik sahaja berlaku kekosongan, penggantian harus dilaksanakan segera. Namun, kita perlu berhati-hati kerana FGV perlu distruktur semula dan difokuskan kepada pasaran sedia ada serta pasaran baharu,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan bersama warga pengurusan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), hari ini.

Semalam, media melaporkan Fakhrunniam secara rasmi meletak jawatan daripada syarikat gergasi minyak sawit Malaysia itu, namun tidak mengulas lanjut mengenai sebab peletakan jawatannya.

Kerajaan sebelum ini menyatakan FELDA merancang menyusun semula FGV bagi mengembalikan misi asal syarikat, menekankan kepentingan pekebun kecil atau peneroka Felda sebagai tonggak utama dalam strategi pertumbuhan syarikat.

“Saya akan membantu Perdana Menteri untuk memperkukuhkan bukan sahaja FGV tetapi FELDA kerana terdapat beberapa isu tertentu yang perlu dibantu oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah dalaman,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi FELDA, Ahmad Shabery Cheek, berkata FGV adalah syarikat di bawah pengawasan Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan pelantikan CEO berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. 

Beliau menegaskan, Fakhrunniam telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang perkhidmatan beliau.

“Beliau menyatakan terdapat beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk berundur buat sementara waktu, dan saya mengambil perhatian.

“Sekiranya diminta memberi pandangan mengenai calon yang layak, saya sedia berkongsi pandangan kerana FGV dan FELDA merupakan dua entiti yang saling bergantung antara satu sama lain,” katanya.

Media melaporkan peletakan jawatan Fakhrunniam dikaitkan dengan perubahan ketara dalam pengurusan syarikat selepas FGV dinyahsenarai tahun lalu, dengan lembaga pengarah mengambil peranan lebih langsung dalam operasi harian.

FGV telah dinyahsenarai oleh pemegang saham majoritinya, FELDA. Ketika penyenaraian syarikat pada 2012, ia merupakan antara tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di dunia dengan harga RM4.55 sesaham.

Namun, syarikat berkenaan mencatatkan kerugian berikutan cabaran kewangan dan isu tadbir urus.-BERNAMA