Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Keupayaan Malaysia mempunyai asas-asas ekonomi kukuh, prospek pertumbuhan positif serta pelaksanaan langkah pembaharuan ketika ini akan terus menyokong ringgit susulan krisis di Asia Barat, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan faktor seperti pendirian dasar monetari di negara-negara maju, ketegangan geopolitik dan keadaan pasaran kewangan global turut berperanan dalam mempengaruhi pergerakan ringgit.

Bagaimanapun, beliau berkata faktor struktur seperti sektor kewangan yang kukuh dan kedudukan luar yang berdaya tahan turut menjadi pemacu utama dalam menyokong mata wang tempatan berkenaan.

Tidak kurang pentingnya, kata beliau, adalah pelbagai inisiatif pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan serta pihak berkuasa yang terbukti meningkatkan sentimen pasaran terhadap Malaysia.

“Asas-asas ekonomi Malaysia adalah kukuh. (Sehubungan itu) dengan meneruskan usaha melaksanakan pembaharuan struktur, kita dapat mengekalkan asas ini selain meningkatkan lagi prospek pertumbuhan kita.

“Ini dapat menyuntik pengukuhan berterusan terhadap ringgit walaupun dalam senario cabaran global,” katanya.

Pada masa ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur berkembang 4.5 hingga 4.7 peratus pada 2026 berbanding 5.2 peratus dalam 2025. 

BNM akan mengumumkan unjuran pertumbuhan dan inflasi pada akhir Mac ini.

Ringgit yang menyaksikan aliran pengukuhan sejak kebelakangan ini, hari ini dibuka meningkat di paras 3.9340/9450 berbanding dolar AS daripada 3.9395/9465 pada akhir urus niaga semalam ketika peniaga menumpukan pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) meskipun berlakunya konflik di Asia Barat.

Bank pusat itu telah bertindak mengekalkan kadar OPR pada 2.75 peratus.

Tanpa menyangkal pergerakan ringgit turut berpandukan keadaan pasaran, Abdul Rasheed sebaliknya yakin prospek ekonomi Malaysia akan terus menyokong mata wang tempatan berkenaan.

Sambil mengakui pengukuhan ringgit memberi kesan positif kepada segelintir kumpulan melebihi yang lain dan sebaliknya apabila ringgit susut, beliau menekankan prestasi ringgit ditentukan oleh pasaran dan bank pusat berkenaan tidak menyasarkan sebarang paras tertentu bagi ringgit.

“Kita tidak menyasarkan paras tertentu dan (prestasi) ringgit ditentukan oleh pasaran. Apa lebih utama adalah memastikan ringgit dapat diurus secara teratur.

“Ini membantu rakyat Malaysia serta kalangan perniagaan melakukan perancangan aktiviti dengan lebih baik seperti bagi tujuan pelaburan, berdagang atau mengembara walaupun berlakunya pergerakan dalam kadar pertukaran asing,” katanya.-BERNAMA