Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Enam individu disyaki terbabit dengan kumpulan ‘Islamic State’ (IS), dijangka didakwa di mahkamah pada minggu depan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata semua suspek itu kini disiasat mengikut Bab VI A Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi kesalahan berkaitan keganasan, selaras prosedur dan peruntukan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747).

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk mendakwa semua suspek itu atas pelbagai pertuduhan berkaitan keganasan.

“Kesemua mereka dijangka didakwa, minggu depan, atas beberapa pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mohd Khalid berkata, antara pertuduhan bakal dikenakan ialah mempromosikan kumpulan pengganas, menjadi ahli atau mengaku sebagai ahli organisasi pengganas, serta memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas.

Beliau berkata, suspek juga berdepan kemungkinan pertuduhan menyediakan, menerbitkan, mengedar dan menjual bahan berkaitan organisasi pengganas.

Katanya, kejayaan operasi itu membuktikan kecekapan dan kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan negara serta melindungi kepentingan awam daripada sebarang bentuk ancaman keganasan.

“PDRM kekal komited menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan tegas tanpa kompromi, berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata, polis turut mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak mendedahkan identiti individu terbabit.

Beliau menjelaskan bahawa ia bagi melindungi maruah serta masa depan mereka, selaras Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan Artikel 37 Konvensyen Hak Kanak-Kanak.

“Semua tindakan diambil adalah berdasarkan penelitian rapi serta analisis terperinci, selain mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau sekali gus menasihati ibu bapa agar memantau aktiviti dan pergaulan anak-anak pada semua peringkat, termasuk di platform permainan dalam talian.

“Ibu bapa juga perlu peka terhadap sebarang tindakan anak-anak yang mungkin menjurus kepada kesalahan berkaitan keganasan, serta terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan negara kekal bebas daripada ancaman keselamatan,” katanya.

Mohd Khalid berkata, tindakan pantas diambil PDRM adalah langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kejadian lebih serius yang boleh mengancam kedaulatan negara.

Beliau berkata, keadaan keselamatan Malaysia ketika ini kekal aman, selamat dan terkawal meskipun dunia sedang berdepan ketegangan geopolitik antarabangsa.

“Pemantauan, pengumpulan risikan serta langkah pencegahan akan terus diperkukuh secara proaktif bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara kekal terpelihara,” katanya.-BH Online