PUTRAJAYA: Polis sudah merakamkan kenyataan seorang individu yang dikatakan terbabit komplot untuk menjatuhkan kerajaan membabitkan kumpulan Zionis terkemuka.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata individu rakyat tempatan itu memberikan keterangan secara sukarela kepada pihaknya pada 26 Februari lalu, iaitu pada hari laporan polis mengenainya dibuat.
Beliau berkata, PDRM sudah mendapat beberapa nama yang dipanggil untuk memberi kenyataan membabitkan dakwaan seorang isteri bekas Menteri bersekongkol dengan beberapa pihak lain dari luar negara termasuk kelompok Zionis terkemuka untuk menjatuhkan kerajaan.
Katanya, pihaknya akan memanggil tiga atau empat orang lagi untuk memberi keterangan.
“Kita sudah dapat beberapa nama-nama, saya sedang berusaha untuk dapatkan kenyataan-kenyataan daripada mereka yang berkaitan.
“Setakat ini kita baru ambil (keterangan daripada) seorang tapi kita ada lagi dalam tiga empat orang lagi yang perlu kita panggil untuk beri kenyataan,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini, hari ini.
Mohd Khalid berkata, keterangan individu berkenaan juga panjang dan memakan masa untuk diambil, justeru pihaknya memerlukan masa untuk meneliti maklumat yang diperoleh.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya belum pasti sama ada untuk memanggil balu Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk memberi keterangan atau memperincikan siapa yang bakal dipanggil kelak.
Katanya, semua pihak yang sudah dikenal pasti itu adalah warga tempatan.
“Kerajaan memerlukan satu tindakan yang menyeluruh dan kita kena kenal pasti isu-isu yang berkaitan. Ia bukan sahaja terbabit (dengan pihak) dalam negara tetapi juga di luar negara. Jadi ia memerlukan siasatan yang menyeluruh dan berhati-hati.
“…dan saya percaya kita perlu bersabar dalam memastikan perkara ini dapat kita selesaikan dengan baik tanpa merosakkan apa-apa juga isu-isu yang berkaitan dengan kerajaan,” katanya.
Katanya, perkara itu ditangani dengan teliti supaya tidak menimbulkan kesangsian dalam kalangan rakyat selain menjamin keselamatan negara.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata siasatan polis berhubung kenyataan Perdana Menteri pada Selasa lalu dijangka selesai dalam masa terdekat.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan cubaan menjatuhkan kerajaan yang kini dalam siasatan polis, bukan hanya membabitkan pihak luar negara yang bersekongkol dengan warga tempatan, malah ada pembabitan secara langsung kelompok Zionis terkemuka.
Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu memberi sedikit lagi masa untuk PDRM melengkapkan siasatan, sebelum maklumat itu dapat dikongsi kepada umum, jika bersesuaian termasuk kepada Ahli Parlimen.
Pada 27 Februari lalu, Na’imah menerusi satu kenyataan memaklumkan terkejut dengan laporan polis difailkan seorang individu yang mendakwanya terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
Menurutnya, laporan polis itu difailkan seorang individu yang pernah menawarkan khidmatnya sebagai sebahagian daripada pasukan komunikasi pada Julai 2025.
Media semalam melaporkan peguam keluarga Allahyarham Daim, Nizamuddin Hamid menafikan terbabit dalam usaha menggulingkan kerajaan seperti didakwa pihak tertentu dan menyifatkannya sebagai antara pembohongan besar (That is the mother of all lies).
Beliau dan rakan peguam, Amir Zariff Abdullah antara dua nama yang dimasukkan dalam laporan polis selepas didakwa terbabit dalam ‘komplot’ bersama balu Tun Daim.-BH Online
