KUALA LUMPUR, 5 Mac – Seramai 154,557 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) direkodkan berdaftar dengan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) setakat 31 Januari 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu, seramai 127,005 murid mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), diikuti 24,253 murid dalam Program Pendidikan Inklusif (PPI) dan 3,299 murid di Sekolah Pendidikan Khas (SPK).
Beliau berkata KPM komited memastikan golongan MBPK menerima akses pendidikan berkualiti melalui penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Menurutnya, kemudahan tersebut disediakan sama ada di SPK mahupun di sekolah arus perdana menerusi pelaksanaan PPKI dan PPI.
Dalam pada itu, sehingga 31 Januari 2026, pengisian jawatan guru pendidikan khas mencatatkan kadar 93.3 peratus daripada keseluruhan 21,876 jawatan yang diperuntukkan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 20,420 jawatan telah diisi,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli di Dewan Negara, hari ini.
Tambah beliau, daripada jumlah guru yang mengisi jawatan berkenaan, seramai 19,037 orang merupakan guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Jumlah itu merangkumi 10,577 guru di sekolah rendah dan 8,460 guru di sekolah menengah.-Berita RTM
