Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Keterjaminan bekalan makanan negara tidak terjejas buat masa ini susulan konflik di Asia Barat, namun mungkin memberi kesan kepada kenaikan harga produk import jika perang berpanjangan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kebanyakan sumber import Malaysia tidak membabitkan negara yang terkesan secara langsung di rantau yang terkesan itu.

“Kita belum terjejas dalam hal keterjaminan makanan ini, tetapi kita tidak tahu berapa lama konflik ini akan berlaku… kalau berpanjangan, apabila berlaku kenaikan harga minyak, kemungkinan akan berlaku kenaikan harga barangan import dan sebagainya.

“Buat masa ini barangan makanan terutama sekali makanan utama tidak berapa terjejas kerana kawasan berkonflik di (wilayah) Teluk, tidak terbabit dalam hal makanan secara besar-besaran bagi Malaysia.

“Sebaliknya, antara negara utama yang terbabit dalam import makanan Malaysia ialah India, Pakistan, negara-negara ASEAN, Australia, New Zealand, Brazil dan Argentina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Ihya Ramadan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Wisma Tani di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan memiliki pelan mitigasi dan langkah pengurusan krisis sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Dari segi bekalan beras, kita memang ada stok penimbal yang mana kalau terjadi apa-apa, kita ada bekalan yang cukup untuk lima bulan.

“Tetapi kalau kita ambil stok dijual di kedai-kedai, campur (semua) cukup untuk tujuh bulan. Lain-lain kita memang ada langkah pengurusan krisis jika berlaku apa-apa,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri turut mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi KPKM, dengan antara dibincangkan termasuk isu tatakelola dan tadbir urus sektor agromakanan, pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dan penganjuran MAHA 2026 dengan tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’.

Beliau bersama warga KPKM kemudian mendengar tazkirah Ramadan disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, sebelum menunaikan solat Zohor berjemaah.-BH Online