Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Melaka terus memilih jalan perpaduan dengan mengukuhkan kebersamaan dan meraikan kepelbagaian sebagai asas kekuatan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata perbezaan bahasa pertuturan dan adat resam bukan penghalang kepada langkah memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, sebaliknya penduduk tetap berkongsi satu identiti sama sebagai anak Melaka.

Beliau berkata, semangat kekitaan itu menjadi tunjang memastikan keharmonian terus subur dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Kita adalah keluarga besar Melaka dan negeri ini dibina atas semangat muafakat serta saling menghormati antara satu sama lain.

“Sebagai individu diamanahkan mengetuai negeri ini, tanggungjawab saya sebagai Ketua Menteri bukan sekadar mentadbir dan merangka dasar, tetapi memastikan setiap rakyat merasai kehadiran kerajaan dalam kehidupan seharian mereka.

“Atas dasar itu, saya mengilhamkan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang disifatkan bukan sekadar slogan, sebaliknya pendekatan pentadbiran yang memberi penekanan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya berucap pada majlis perasmian Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Dataran Klebang, di sini malam tadi.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ibrahim Durum; EXCO Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin; EXCO Kesihatan, Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ngwe Hee Sem serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang yang juga pengerusi bersama sambutan itu, Datuk Lim Ban Hong.

Ab Rauf berkata, melalui MeSRa, kerajaan negeri komited membantu rakyat terutama anak muda yang sedang mencari pekerjaan supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan.

Selain itu, katanya, peniaga kecil dan usahawan mikro turut diberi sokongan supaya mampu mengembangkan perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga, manakala golongan warga emas pula terus disantuni dengan pelbagai inisiatif kebajikan, selain keluarga terkesan akibat cabaran ekonomi juga dibantu bagi meringankan beban mereka.

Serentak itu, beliau berkata, setiap aduan dan permintaan rakyat akan diperhalusi secara teliti bersama semua kepemimpinan negeri bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Mengulas isu banjir kilat yang menjadi kebimbangan penduduk, Ab Rauf berkata, tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) kini menunjukkan hasil memberangsangkan dengan pengurangan ketara insiden air naik di beberapa kawasan terjejas.

Katanya, usaha berterusan itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menangani isu rakyat secara menyeluruh dan berfokus, bukan sekadar bermusim.

“Melaka dihuni kira-kira 1.05 juta penduduk iaitu 72.8 peratus Melayu, 21.1 peratus Cina, 5.5 peratus India serta kaum lain dan setiap angka itu adalah keluarga Melaka yang perlu disantuni kerana negeri ini tidak dibina satu kaum saja, tetapi oleh tangan yang berbeza dengan cita-cita sama,” katanya.-BH Online