ALOR SETAR: Tujuh individu termasuk seorang wanita warga Thailand ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes melepaskan tembakan ke arah kenderaan komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah, dua hari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata semua suspek berusia antara 22 hingga 52 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis, hasil operasi bersepadu yang dilakukan pada hari sama kejadian bermula jam 10.30 pagi hingga jam 6 petang.
“Siasatan mendapati, enam lelaki dan seorang wanita yang juga isteri kepada seorang daripada yang ditahan itu tinggal berdekatan lokasi kejadian dan mengenali antara satu sama lain.
“Hasil semakan juga mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah berat.
“Selain itu, dua suspek juga mempunyai kesan ‘gunshot residue’ (GSR) atau residu tembakan senjata api iaitu rembesan tembakan daripada senjata api di bahagian tangan dan pipi mereka.
“Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai lesen memiliki senjata api,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Rabu lalu, kereta Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, ditembak pada jam 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.
Dua suspek menaiki motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata semi automatik ke arah kenderaan mangsa.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan suspek yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan komander AKPS itu berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.
Adzli berkata, kesan GSR itu juga dikesan pada kunci dan topi keledar dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan, namun senjata yang digunakan masih belum ditemui sehingga kini.
Sementara itu, Adzli berkata, pasangan suami isteri yang tinggal di Bukit Kayu Hitam itu ditahan di kawasan pemeriksaan pintu sempadan Padang Besar, Perlis pada jam 12.30 tengah hari dan disyaki hendak melarikan diri ke negara jiran.
“Semua suspek direman antara dua hingga empat hari untuk siasatan lanjut, manakala wanita berusia 30-an itu pula direman 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi menyiasat ketulenan dokumen pengenalan diri miliknya.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Adzli berkata, pihaknya tidak menafikan tembakan ke arah Komander AKPS itu berniat untuk membunuh dan mungkin kerana ada pihak tertentu tidak berpuas hati dengan tindakan tegas penguat kuasa sehingga menjejaskan aktiviti penyeludupan haram dilakukan mereka.
“Beberapa siri rampasan besar berjaya dipatahkan termasuk rampasan 100 tan beras, kaskas babi dan lebih 100 migran.
“Rampasan itu membabitkan kerugian banyak, ada melebihi RM1 juta, jadi itu antara motif mereka untuk menakutkan dan merencatkan tindakan penguat kuasa.
“Kita tidak akan berundur walau setapak, tidak gentar dengan ugutan mereka, malah tindakan lebih tegas akan diambil selepas ini.
“Petugas di pintu sempadan selepas ini, akan dibekalkan baju kalis peluru dan senjata yang lebih bagi memastikan mereka tidak berasa terancam, selain bekerja dalam suasana selamat,” katanya. – BERNAMA
