GEORGETOWN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menziarahi Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), petang tadi.
Saifuddin Nasution berkata, beliau menziarahi Hashim bagi menzahirkan simpati kepada keluarganya berikutan sudah mengenali beliau sejak puluhan tahun lalu.
“Beliau sedang menghadapi ujian ini dan saya juga sempat mendapatkan maklumat ringkas daripada doktor yang merawatnya.
“Saya juga bertemu dengan anak perempuannya yang ketiga dan menyampaikan salam daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada Hashim sendiri dan keluarganya.
“Doa dan harapan kami ialah supaya Hashim dapat diberi kesembuhan bagi menghadapi sakitnya ini, sentiasa kuat dan tabah kemudiannya mendapat kesembuhan segera, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui di HPP, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, dalam lawatan singkat itu, Mursyidul Am PAS berkenaan berada dalam keadaan sedar dan mendapat semua rawatan yang dibuat oleh barisan doktor yang mengawasi.
Terdahulu, media melaporkan Hashim, 87, yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis sejak 9 Februari sebelum dipindahkan ke HPP minggu lalu, bagi rawatan lanjut dan prosedur pemasangan sten pada bahagian arteri paha susulan kecederaan di kawasan itu.
Bagaimanapun semalam media melaporkan Hashim yang mesra disapa sebagai Tok Guru itu semakin baik dengan tahap jantung menunjukkan perkembangan positif.-BH Online
