KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di semua kesihatan primer selewat-lewatnya pada penghujung 2027.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi penggunaan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) bagi klinik kesihatan dan Dental Information System (DIS) di klinik pergigian.
Menurutnya, pemasangan kedua-dua sistem itu telah bermula sejak 2024 dan ia sebahagian agenda pendigitalan menyeluruh perkhidmatan kesihatan primer negara.
“Pemasangan CCMS bermula pada 2024 dan sehingga akhir 2025 merangkumi sebanyak 412 klinik kesihatan. Bagi 2026, kementerian komited untuk mendigitalkan 137 lagi klinik kesihatan dan baki 588 akan didigitalkan sepenuhnya pada akhir 2027.
“Begitu juga dengan pemasangan DIS, sebanyak 120 klinik pergigian telah selesai dilaksanakan sehingga akhir 2025dan baki 458 lagi akan didigitalkan sepenuhnya pada akhir 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai pelan menyeluruh KKM dalam usaha mendigitalkan operasi harian fasiliti kesihatan, integrasi data dan tahap kolaborasi serta keserasian dalam sistem itu antara hospital kerajaan dan swasta.
Mengulas lanjut, Dzulkefly memaklumkan, bagi fasiliti kesihatan lain seperti hospital pula membabitkan pemasangan Total Hospital Information System (THIS).
Menurutnya, sistem berkenaan sudah mula dipasang sejak 1999 dan sebanyak 23 hospital selesai dilaksanakan setakat tahun lalu.
“Bagi tahun ini, kementerian komited untuk mendigitalkan 16 hospital, manakala baki 113 hospital akan didigitalkan sepenuhnya pada akhir 2029,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai integrasi data kesihatan nasional, di mana KKM kini sedang giat melaksanakannya melalui aplikasi MySejahtera.
Katanya, sistem berkenaan berjaya mengintegrasikan 30 juta rekod vaksinasi, tujuh juta rekod preskripsi ubat, tiga juta rekod pergigian dan 2.8 juta rekod saringan kesihatan sehingga ke hari ini.
Tambah beliau, dalam masa terdekat, sebanyak 90,000 rekod pengimejan perubatan akan turut diintegrasikan, selaras dengan aspirasi ‘1 Individu, 1 Rekod’.
“Inisiatif ini sebahagian daripada agenda pendigitalan KKM bagi memperkukuh kesinambungan rawatan, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan, mengurangkan pertindihan rawatan dan memastikan akses maklumat lebih pantas serta selamat.
“Pada masa sama, bagi mewujudkan ekosistem kesihatan holistik merangkumi sektor awam dan swasta, pengendali fasiliti kesihatan swasta dilibatkan melalui penyeragaman piawaian saling kebolehkendalian.
“Pembabitan fasiliti kesihatan swasta akan terus diperkukuhkan melalui program penyeragaman proses kerja dan piawaian saling kebolehkendalian bagi melonjakkan tahap pendigitalan sektor kesihatan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.-BH Online
