KUALA LUMPUR: Arab Saudi menyumbangkan kira-kira 30 tan kurma dan 25,000 naskhah al-Quran kepada Malaysia sempena Ramadan 1447H, sekali gus meneruskan inisiatif sumbangan tahunannya kepada negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata sumbangan itu mencerminkan hubungan kukuh dan harmoni antara Malaysia dengan Arab Saudi.
“Alhamdulillah, kita mempunyai hubungan sangat baik dengan Kerajaan Arab Saudi.
“Setiap tahun, Kerajaan Arab Saudi dengan murah hati menghadiahkan kurma kepada negara kita.
“Selain itu, mereka juga menyumbangkan al-Quran, tahun ini. Kita mesti mengekalkan ikatan erat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama pada majlis penyerahan sumbangan itu, di sini, yang turut dihadiri Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Osama Dakhil Al-Ahmadi, dan wakil Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSRelief), Raid Mohamad.
Zulkifli berkata, kurma yang disumbangkan itu berasal dari Arab Saudi, termasuk daripada varieti syukari yang disifatkannya antara yang terbaik.
Beliau berkata, sumbangan itu akan diagihkan kepada masjid, surau dan institusi keagamaan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.
Malah, katanya, Kerajaan Arab Saudi juga akan menaja program berbuka puasa untuk rakyat Malaysia sepanjang Ramadan.-BH Online
