KUALA LUMPUR: Seramai 324 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata mereka antara 1,869 yang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu 91 pegawai dan 1,778 anggota, bagi tempoh 2020 sehingga tahun lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 958 orang sudah dituduh di mahkamah.
“Baki 911 orang masih dalam proses siasatan dan perbicaraan serta dalam tindakan menunggu laporan patologi dan laporan kimia bagi melengkapkan siasatan kes,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakya
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai jumlah pegawai dan anggota PDRM yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah bagi tempoh 2020 hingga 2025 serta jenis kesalahan, tindakan tatatertib atau perundangan yang diambil.
Saifuddin berkata, bagi aspek tatatertib, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard turut melaksanakan siasatan terhadap warga PDRM yang terbabit.
“Prosiding tatatertib oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard dijalankan mengikut Peraturan 33 (1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kesalahan dan Tatatertib) 1993 selepas mereka disabitkan kesalahan di mahkamah.
“Berdasarkan statistik, sejumlah 511 orang pegawai dan anggota PDRM dikenakan hukuman tatatertib untuk tempoh tahun 2020 hingga 2025.
“Daripada jumlah itu, 324 pegawai dan anggota terbabit dibuang kerja. Selebihnya, dikenakan hukuman amaran sehingga turun pangkat,” katanya.-BH Online
