Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi ekonomi negara dan pengukuhan nilai mata wang ketika ini dilihat berjaya mewujudkan ‘feel-good factor’ atau suasana positif dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkembangan positif itu menjadi pemangkin kepada rakyat untuk terus bersatu dan menyokong aspirasi kerajaan dalam mewujudkan perpaduan yang lebih mantap.

Beliau berkata, kestabilan ekonomi itu amat penting dalam mendukung keharmonian sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

“Apabila kita berada sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang ada, kita kekalkan semangat keharmonian ini dan kepelbagaian ini harus kita dukung bersama supaya Malaysia terus aman.

“Dengan peningkatan ekonomi yang baik dan pertukaran mata wang semakin membaik, ia akan menjadikan rakyat terus bersatu mendukung cita-cita kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa UMNO di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib-Naib Presiden dan pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilapor mendedahkan ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan bagi suku kedua 2026.

Ia disokong prestasi Indeks Pelopor (IP) Disember 2025 yang mencatatkan marginal 0.1 peratus kepada 114.0 mata berbanding 113.9 mata dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dilaporkan berkata ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan disokong oleh perkembangan ekonomi baharu yang progresif dan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dijangka merangsang perniagaan tempatan, sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi lain secara tidak langsung.-BH Online