KUALA LUMPUR, 26 Februari – Lebih 1,400 vendor tempatan telah menerima bayaran daripada pelaburan RM1.1 bilion yang disalurkan kerajaan kepada Vantris Energy Bhd.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaburan melalui langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) itu membantu menyelamatkan vendor tempatan yang terjejas.
Sekali gus, melindungi lebih 59,000 pekerja dalam ekosistem Vantris Energy yang bergantung secara langsung atau tidak langsung kepada rangkaian vendor syarikat.
Beliau bagaimanapun berkata kerajaan melalui Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) menetapkan syarat bahawa pelaburan itu hanya boleh digunakan untuk melangsaikan liabiliti tertunggak kepada penyedia perkhidmatan tempatan dalam sektor minyak dan gas di Malaysia.
“Syarat itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pemegang saham Vantris Energy atau pemiutang kewangan sedia ada,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2025) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Datuk Seri Amir Hamzah, kerajaan ingin memastikan ekosistem syarikat yang terjejas mendapat sokongan yang diberikan supaya memelihara ekosistem industri minyak dan gas.
Beliau berkata, antara langkah lain yang dilaksanakan adalah mengubah komposisi lembaga pengarah melalui pelantikan pengerusi serta tiga anggota lembaga pengarah baharu.
“Langkah itu bertujuan memperkukuh keberkesanan pengawasan, meningkatkan kepelbagaian kepakaran serta fungsi semak dan imbang di peringkat lembaga pengarah, katanya.
Pada Ogos 2025, Vantris Energy mengumumkan MDH melanggan RCLS bernilai sehingga RM1.1 bilion sebagai sebahagian usaha untuk mengumpul dana.
Hasil akan digunakan untuk menyelesaikan pembayaran tertunggak kepada vendor minyak dan gas Malaysia, sekali gus mengesahkan komitmen kumpulan terhadap ekosistemnya.-Berita RTM
