Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERDANG, 26 Februari – Rakyat tidak perlu terheret dengan isu-isu kecil yang boleh menggugat perpaduan negara, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majoriti rakyat Malaysia mahukan keamanan, perpaduan dan kemakmuran tetapi suara kelompok kecil yang lantang kadangkala menenggelamkan pendirian sebenar majoriti.

“Saya selalu katakan, kita sebenarnya memiliki kesedaran. Kadang-kala kita mencerminkan pandangan kelompok minoriti. Mereka lantang tetapi kadang-kala tidak mempunyai kesedaran. Hakikatnya, majoriti mahukan keamanan, perpaduan dan kemakmuran untuk kita semua.

“Rakyat terbanyak ini mahu negara ini aman, ekonominya maju, dan hormat semua budaya dan agama dalam negara kita,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma Huazong, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan timbalan-timbalan menteri.

Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa dalam negara berbilang kaum dan parti politik, tidak semua pihak akan bersetuju dengan setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata isu-isu yang dimainkan atas sentimen perkauman tidak seharusnya menjejaskan perhatian daripada agenda besar negara.

“Kadang-kadang Malaysia ini terlalu banyak diheret dengan isu-isu kecil-kecil. Kita lupa, kalau ekonomi kita tidak kukuh, kalau pelaburan tidak meningkat, tidak ada harapan bagi anak-anak muda kita. Pekerjaan mereka, mutu pendidikan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan negara tidak boleh diukur dengan memenuhi kehendak segelintir pihak semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan kepentingan rakyat keseluruhan.

“Nak berjaya, fokus pada isu ekonomi dan nak berjaya, fokus kepada kepentingan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa semua pihak supaya bersatu dan bekerja keras bagi mengangkat martabat negara serta memastikan Malaysia terus menjadi negara yang dihormati di rantau ini.

Beliau yakin dengan pendekatan berteraskan perpaduan, tadbir urus baik dan saling menghormati, Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai negara hebat di rantau ini.-Berita RTM