PARLIMEN, 26 Februari – Sebanyak 19,205 tunggakan permohonan permit masuk Pemastautin Tetap (PR) bagi tempoh 2013 hingga 2023 berjaya diselesaikan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata daripada jumlah itu, 15,081 permohonan atau 78.5 peratus telah diluluskan.
Beliau berkata bagi permohonan yang ditolak, pemohon masih boleh mengemukakan rayuan.
“Bagi tempoh 2020 hingga 2024, sebanyak 5,678 rayuan diterima dan 98 peratus daripadanya telah diselesaikan,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu memastikan institusi kekeluargaan rakyat Malaysia yang mempunyai pasangan warga asing terus terpelihara serta kebajikan anak-anak tidak terjejas akibat status ibu bapa yang belum memperoleh taraf pemastautin tetap.
Datuk Seri Saifuddin turut memaklumkan bahawa mulai 1 September tahun lalu, kerajaan menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu dengan tempoh pemprosesan permit masuk dipendekkan kepada maksimum enam bulan selepas dokumen lengkap dikemukakan.
Keutamaan diberikan kepada pasangan warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mengenai status terkini reformasi permit masuk negara termasuk aspek semakan dasar dan prosedur permohonan.-Berita RTM
