KUALA LUMPUR: Program Iftar Rahmah MADANI tahun ini memperuntukkan RM9.45 juta membabitkan 630,000 pek makanan untuk diagihkan di 70 masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, sepanjang Ramadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata program tahunan sejak 2023 itu dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Katanya, sasaran penerima adalah dalam kalangan asnaf, golongan B40 serta individu yang memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan.
“Pelaksanaan program ini menyasarkan 300 penerima setiap hari bagi setiap masjid dan surau, menjadikan 21,000 pek makanan percuma terdiri daripada keperluan asas akan diagihkan setiap hari hari di bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Iftar Rahmah MADANI Tahun 1447H/2026M di Surau As-Sobirin, PPR Raya Permai, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan.
Zulkifli berkata, Program Iftar Rahmah MADANI bertujuan membantu golongan asnaf yang terkesan dengan kenaikan harga barang supaya terus memperoleh hidangan berbuka puasa berkualiti sepanjang Ramadan.
Selain itu, katanya, program itu dapat memperkukuh kerjasama strategik antara JAWI dengan masjid dan surau terpilih dalam melaksanakan inisiatif kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
“Program Iftar Rahmah MADANI juga berperanan mengukuhkan fungsi masjid dan surau sebagai pusat komuniti yang bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah berfungsi sebagai pusat kebajikan sosial.
“Ia sekali gus dapat meningkatkan imej Islam sebagai agama yang menitikberatkan kesejahteraan ummah,” katanya.
Justeru, beliau berterima kasih kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kerana dengan adanya mereka maka bantuan sedemikian dapat disampaikan.
“Segala setiap sen yang diberikan itu kita agih dan kita sampaikan kepada asnaf sebaiknya terutama oleh MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) yang mempunyai rekod cemerlang dan professional dalam pengurusan zakat ini,” katanya.-BH Online
