KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengaktifkan langkah keselamatan tambahan di semua pintu masuk negara berikutan serangan senjata api terhadap komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam pagi tadi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memandang serius insiden tembakan itu.
Katanya, kementerian bersyukur kerana pegawai terbabit, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, terselamat dalam serangan itu.
“Perincian mengenai langkah keselamatan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada New Straits Times ketika dihubungi.
Beliau memberi jaminan bahawa polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes itu.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman terhadap keselamatan negara. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menyiasat secara profesional.
Dalam kejadian jam 5.40 pagi tadi, dua lelaki bermotosikal menghampiri kereta Proton X70 dipandu Nasaruddin ke masjid untuk menunaikan solat Subuh dan melepaskan beberapa das tembakan.
Nasaruddin dilantik sebagai Komander AKPS Bukit Kayu Hitam pada Januari 2025.
Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai ketua staf Pasukan Petugas Khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Polis percaya serangan itu untuk menakutkan pasukan penguat kuasa yang aktif melakukan operasi di sempadan.-BH Online
