Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka kerjasama dengan Kementerian Digital untuk meneliti serta memperhalusi garis panduan baharu terhadap permainan eSports bagi mengekang unsur keganasan dalam kalangan belia.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata garis panduan itu diperkenal selepas tinjauan mendapati unsur keganasan yang wujud kepada kelompok anak muda itu, banyak dipengaruhi oleh permainan dalam talian.

“Sebab sekarang ini kalau kita lihat, rupanya keganasan itu boleh timbul ketika anak-anak muda ini bermain ‘game’ secara dalam talian. Dia mula daripada ‘chat’, kemudian dari situ, unsur-unsur ekstremisme itu mula masuk.

“Kemudian dia mula menghasut anak-anak muda kita ini untuk ke arah keganasan dan anak muda yang tidak tahu apa-apa ini merasakan ia sesuatu yang biasa. Sebab itu banyak gejala-gejala sosial yang berlaku bermula daripada situ (permainan dalam talian).

“Sebab itu kita sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan (KPM), untuk memastikan eSports ini sesuatu yang baik, tetapi ia perlukan satu garis panduan supaya ia tidak tersasar daripada tujuan asal dan pengawasan di alam maya sahaja belum mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Niran Tan Kran pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini. 

Sebagai penyelesaian proaktif bagi mencegah tingkah laku agresif belia ini, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) katanya, giat melaksanakan beberapa program antaranya penyaluran emosi terkawal, iaitu projek ‘Dengar Rakan Muda’. 

“KBS komited memastikan belia kita bukan saja dilindungi daripada naratif keganasan, malah dibentuk untuk menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab untuk negara kita,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Dr Jufitri Joha berkaitan belia berpersatuan, Dr Mohammed Taufiq berkata, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) sentiasa bekerja rapat dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk memastikan pendaftaran ataupun keterlibatan anak-anak muda dengan berpersatuan dapat ditingkatkan. 

“Pelbagai program sudah pun dilakukan, termasuklah Program Outreach Pertubuhan Belia Kolaborasi Pintar Belia, Program Santuni Pertubuhan Belia dan Bengkel Tadbir Urus Pertubuhan Belia. 

“Sebagai dana tarikan baru, kita juga memperkenalkan dan bekerjasama dengan pihak ICU untuk memperkenalkan program Sejati Madani X Belia, yang mana disediakan RM250 juta dan sasaran kita adalah sebanyak 2,500 pertubuhan belia menyertai program ini. 

“Jadi, ketika anak muda menyertai pertubuhan, ia tidak hanya semata-mata berpersatuan, tetapi juga ia boleh menjana pendapatan. Setiap pertubuhan akan diberikan geran RM100,000 berdasarkan dengan kriteria dan kelayakan, dan juga harus mengikuti prosedur-prosedur yang ditetapkan. Ini sekali gus akan menarik minat lebih ramai anak muda untuk berpersatuan,” katanya.-BH Online